ISTERI Mejar Mohd Hasri Zahari, Assyuhadak Ahmad, 30 dan anaknya Nur Hafiya, enam bulan pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda, Jempol, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
BANDAR SERI JEMPOL: "Selalunya, dua atau tiga hari sebelum pulang ke kampung, dia akan ingatkan saya supaya mengemas beg pakaian, tetapi kali ini dia tak pesan."
Kelainan sikap Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, itu menjadi kenangan isterinya, Asysyuhadak Ahmad, 30, yang kini kehilangan insan tersayang buat selama-lamanya.
Semalam, Mohd Hasri dan rakannya, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, terkorban selepas pesawat HAWK 108 dikendalikan mereka terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
Asysyuhadak yang juga ibu kepada anak perempuan berusia lapan bulan, Nurhafiya, berkata sikapnya yang kerap mengemas beg pakaian pada saat akhir menyebabkan Mohd Hasri selalu mengingatkannya supaya segera berkemas.
"Kali ini ini dia langsung tak tanya. Mungkin itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami dua beranak," katanya ketika ketika ditemui di kediaman keluarga mentuanya di FELDA Lui Muda, Serting di sini, hari ini.
Beliau sekeluarga sepatutnya pulang ke kampung arwah suaminya di FELDA Lui Muda esok, sehari selepas Mohd Hasri pulang ke Labuan daripada menjalani latihan di Kuantan, Pahang.
Mengenai persiapan Aidilfitri, Asysyuhadak berkata, mereka sepatutnya membeli-belah pakaian Mohd Hasri dan Nurhafiya selepas pulang ke kampung.
Source link